Thursday 29 April 2010

[TIPS UNTUK BAKAL PENGANTIN XXL]


Kesukaran untuk memilih busana pengantin yang sesuai untuk yang bersaiz XXL memang dirasai. Oleh itu, bakal pengantin disarankan untuk membuat sendiri busana persandingan / pernikahan. Walaupun harga lebih mahal berbanding sewa busana pengantin, namun perkahwinan adalah yang terpenting dan sekali untuk seumur hidup. Jadi adalah berbaloi untuk belanja. Pereka fesyen anda akan memberi cadangan mengikut jenis fabrik dan warna yang sesuai dengan pengalaman yang mereka miliki.

Sekiranya anda ingin menyewa busana perkahwinan di butik-butik perkahwinan, anda boleh cuba menghubungi beberapa butik untuk memastikan ada saiz yang sesuai terlebih dahulu. Ini dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga anda.

Kesukaran untuk mencari kasut yang sesuai bagi saiz XXL juga mungkin berlaku. Untuk itu, anda mungkin boleh membuat servey dibeberapa kedai kasut ataupun mengambil kasut baru sendiri. Anda boleh meminta pereka busana anda menghais sekali kasut anda supaya secocok dengan busana anda.

Semasa memilih busana persandingan, anda digalakkan untuk mencari teman yang berfikiran positif. Teman anda ini dapat memberikan pandangan positif dan galakan kepada anda untuk meningkatkan semangat anda supaya tidak mudah putus asa mencari busana yang sesuai dan padan dengan anda.

Anda perlu memberi keyakinan terhadap diri bahawa andalah yang tercantik pada hari perkahwinan anda. Tanamkan sifat positif dalam diri anda iaitu kecantikan bukan sahaja kerana anda ramping atau mempunyai bentuk badan yang menarik, sebaliknya kecantikan berasal dari hati yang suci disertai dengan persiapan yang menarik dalam majlis perkahwinan khas untuk anda.

Jenis potongan baju pengantin juga memainkan peranan penting. Ia boleh memberi keseimbangan kepada bentuk badan seseorang. Baju dan kain potongan duyung sangat sesuai untuk pangantin lebih gempal kerana dapat menutupi punggung. Belahan di bahagian depan badan dapat memberi keseimbangan ilusi panjang kepada pemakai.

Pengantin yang bersaiz XXL juga perlu bijak memilih kain yang sesuai untuk mengurangkan ilusi besar pada badan. Untuk itu, pilihlah fabrik lace yang lembut dapat membuat badan anda kelihatan kecil. Elakan fabrik yang keras seperti kain songket dan baldu.

Penggunaan ‘vale’ atau layah kepala perlu labuh dari punggung ke bawah. Ini boleh menunjukkan seseorang lebih tinggi dan bergaya apabila layah melepasi bawah punggung. Sekiranya potongan layah singkat, ia menjejaskan penampilan pengantin kerana nampak lebih rendah dari ketinggian asal.

Warna juga memainkan peranan yang penting. Warna yang paling sesuai perlu mempunyai keseimbangan daripada gabungan warna cerah dan gelap. Pilihan yang sesuai ialah warna yang lebih gelap seperti ungu tua atau biru tua kerana warna berkenaan memberi ilusi yang lebih langsing, kecil dan ramping dari saiz sebenar.


|| written by c|kFN ||


[ WEDDING DRESS ]

Di sini ader contoh-contoh wedding dress untuk bakal-bakal pengantin gayakan sewaktu hari perkahwinan mereka. Harus diingat, pilih 'wedding dress' yang sesuai dengan tema yang anda pilih. Wedding dress juga sesuai untuk 'garden wedding' kerana ia lebih nampak santai... tetapi jika anda memilih untuk melakukan majlis perkahwinan di hotel.. gaun juga sesuai digayakan kerana ia akan mambuatkan anda kelihatan mewah dan menawan.


Bagi mereka yang mempunyai potongan badan yang menarik, persis model gitu....anda bolehlah menggayakan gaun sewaktu majlis perkahwinan anda.. namun janganlah terlalu seksi sehingga menimbulkan cakap-cakap belakang.


Bagi masyarakat cina.. mereka memang lebih suka untuk mengayakan gaun sewaktu majlis perkahwinan berbanding cheongsam. Ia tampak lebih moden dan eksklusif. Lebih-lebih lagi masyarakat cina merupakan masyarakat yang mengenakan fesyen yang paling 'up to date' berbanding masyarakat Malaysia yang lain.







Bagi masyarakat india pula.. mereka masih berpegang teguh pada pakaian tradisional perkahwinan mereka iaitu sari. Semoden mana pun bakal pengantin itu, mereka tetap akan memilih sari lebih-lebih lagi kini fesyen sari telah pun diperbagaikan dan nampak eksklusif.




|| written by c|kFN ||


[MENU MAJLIS PERKAHWINAN BAGI MASYARAKAT MELAYU]

Menu hidangan pada hari perkahwinan anda adalah penting kerana ia disajikan untuk para tetamu.. Anda tidak boleh ambil mudah dengan menyajikan menu sekadar ala kadar sahaja. Harus di ingat, ada tetamu yang datang dengan perut kosong semata-mata ingin menghadiri majlis perkahwinan anda. Oleh itu, anda haruslah mestikan sajian yang dihidangkan adalah enak dan boleh dimakan oleh semua golongan usia. Tidak kisahlah sama ada memasaknya secara bergotong royong atau menyerahkan kepada khidmat katering.

Jika anda menggunakan khidmat katering, sebelum anda memilih untuk mengambil katering tersebut, anda haruslah mencuba terlebih dahulu masakan yang disediakan oleh katering tersebut. Jangan kerana perkhidmatan yang disediakan murah dan anda ingin mengurangkan buget, anda terus membuat keputusan tanpa mengetahui akan khidmat masakan yang disediakan.

Perlu anda tahu bahawa kadang kala dek kerana keenakkan hidangan yang anda sajikan kepada para tetamu pada hari bersejarah anda itu, ia akan membuatkan tetamu sentiasa mengingati majlis anda dan tidak dapat melupakan kesedapan hidangan yang anda sajikan manakala jika berlaku sebaliknya, tetamu tetap akan mengingatinya tetapi meninggalkan dakwat hitam dalam kenangan mereka pada hari bersejarah anda itu.

Bagi masyarakat melayu, setiap kali menghadiri majlis perkahwinan, menu yang biasa disajikan adalah : -

1. Nasi Minyak (kerana ia begitu sinonim dengan majlis perkahwinan)

2. Ayam Masak Merah

3. Rendang Daging

4. Dalca

5. Acar buah


dan

*

**

***

****

*****

6. Buah-buahan sebagai pencuci mulut.


Namun kini, menu tersebut telah diperbagaikan, seperti :-


7. Nasi putih (bagi yang kurang berminat dengan nasi minyak)

8. Papodom

9. Sambal Sotong

10.Kari Daging


dan

*

**

***

****

*****

-------> sebagai pencuci mulut


11. Tapai

12. Cendol

13. Kuih-Muih


Kepada yang berkemampuan, anda mungkin boleh lagi menambah hidangan untuk para tetamu. Tetapi harus diingatkan supaya anda memilih menu yang betul-betul boleh dimakan oleh majoriti tetamu yang anda undang bagi mengelakkan dari berlaku pembaziran.


|| written by c|kFN ||


Wednesday 28 April 2010

[MANDI BUNGA ]


Amalan ini sudah dilakukan sejak zaman berzaman. Namun masyarakat kita pada hari ini ada yang kurang mempercayai akan amalan ini dan lebih terarah pada cara moden untuk mengembalikan keremajaan kulit seperti suntikan Vitamin C dan Botox yang memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang amat besar.

Ada mitos mengatakan bahawa mandi bunga adalah untuk membuang sial dan ada yang menganggap ia adalah perbuatan syirik dimana ia menggunakan jampi serapah. Namun disebalik pernyataan tersebut kita tidak sedar akan keistimewaan bunga yang Allah jadikan dengan berbagai khasiat yang pelbagai dan keharuman yang segar.

Jika tidak, masakan shampoo-shampoo yang terdapat di pasaran kini menggunakan khasiat bunga untuk merawat kembali rambut kita yang rosak. Purfume-purfume menggunakan wangian bunga sebagai haruman untuk dikomersialkan.


Berbalik kepada amalam mandi bunga tadi, secara tradisionalnya, ia dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional dengan bacaan Al-Quran bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami masalah rumah tangga. Namun harus diingatkan, ia bukanlah perbuatan syirik kerana amalan ini digabungkan dengan bacaan Al-Quran Al-Karim.


Bunga dijadikan bahan utama kerana keistimewaan bunga iaitu ia sering menyerikan sesuatu contohnya sebuah taman tidak akan berseri jika ia kosong tanpa ada tumbuhan yang berbunga. Namun jika taman itu dikelilingi dengan tumbuhan-tumbuhan berbunga, dia kelihatan berseri dengan warna dan keharuman bunga tersebut.


Ramai yang mengangap, jika kita mahu mandi bunga, kita harus mencari 7 jenis bunga untuk dibuat mandi. Sebenarnya satu atau dua jenis bunga sudah mencukupi. 7 jenis bunga adalah untuk menyerikan tab mandi kita dengan warna-warna bunga tersebut disamping kita akan lebih menikmati khasiat dari bunga-bunga tersebut. Tetapi dari segi saintifik, ia menyatakan aura dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri dan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet.


Kuasa bunga selain menyerikan taman kita dan memberi haruman yang segar kepada kita apabila menghidunya, ia juga kaya dengan khasiat untuk tubuh badan kita. Inilah tujuan sebenar mengapa kita harus mandi bunga, kerana ia mampu menjadikan wajah kita berseri dan nampak segar. Ia juga mampu menghilangkan bau badan kita di samping mencantikkan kulit kita dan menaikkan seri wajah.

Oleh itu, kepada bakal-bakal pengantin anda boleh cuba mengamalkan mandi bunga kerana ia lebih menjimatkan dan anda mendapat kecantikan asli berbanding dengan rawatan moden yang mempunyai risiko yang tinggi apabila anda melakukannya. tidak perlu ke Spa, ada boleh melakukan sendiri di rumah atau memintan bantuan ibu/kakak untuk mendikan anda. Disamping menyerikan kulit, ia juga dapat mengeratkan hubungan anda dengan keluarga sebelum status anda bertukar dan menjalani kehidupan baru.

|| written by c|kFN ||

[ PAKAIAN PENGANTIN ]

MASYARAKAT INDIA

Di hari perkahwinan, pengantin lelaki India akan memakai dhoti dilengkapi dengan turban manakala wanitanya memakai sari yang digandingkan dengan choli ketat. Wanita remaja mengenakan skirt labuh 'Ihenga' juga dipadankan dengan baju pendek atau choli. Lelaki Punjabi menggayakan dhoti atau kurta dan wanitanya mengenakan salwar-khameez-dupatta iaitu seluar dengan baju labuh yang diperindah dengan sulaman benang emas dan labuci.

MASYARAKAT CINA


Cheongsam dipakai oleh pengantin perempuan berketurunan Cina. Ia merupakan pakaian tradisi masyarakat cina. Namun kini ia semakin dilupakan terutamanya untuk majlis perkahwinan kerana bakala pengantin lebih senang untuk memakai gaun pengantin pada hari bersejarah mereka.

MASYARAKAT MELAYU

Baju kurung dan baju melayu selalu diperagakan sewaktu majlis pernikahan. Warna yang selalu menjadi pilihan bakal pengantin adalah putih kerana ia melambangkan kesucian percintaan mereka.

Untuk majlis memotong kek, bakal pengantin boleh memperagakan gaun. Selalunya majlis memotong kek diadakan pada sebelah malam dan hanya dihadiri oleh kaum keleuarga dan sahabat rapat sahaja.

MELAYU JAWA



MELAYU MINANG



Berikut adalah pakaian perkahwinan bagi masyarakat minangkabau. Pengantin perempuan selalunya dihias dengan sunting iaitu salah satu hiasan di kepala dengan seperti tanduk ameh bintang dan suntingan gadang.


:: Sekadar gambar hiasan ::

Tuesday 27 April 2010

[ PERKAHWINAN MENGIKUT ADAT INDIA ]

Pengenalan

Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.

Merisik
Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.

Kunjungan Ke Rumah Pengantin

Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.

Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam.

Ikat Janji

Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.

Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.

Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.

Parisam

Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali.

Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada masa yang sama alat muzik tradisional seperti naatasawaram dan meelam dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil sebagai kuttu vilakku diletakkan bersebelahan puurana kumbum sebagai menunjukkan kurniaan tuhan.

Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin (pen paartal), adat ikat janji (niccayam) dan pemberian hadiah (parisam) merupakan adat yang sering dilakukan oleh masyarakat India. Namun begitu ada di kalangan mereka yang tidak lagi melakukan upacara tersebut untuk mengelakkan pembaziran.

Sebelum Majlis Perkahwinan

Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya :

Kad Jemputan

Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.

Penyediaan Thaali (Tjrumaanggalyam)

Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.

Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.

Mukuurtta Kaal

Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.

Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih pinang, kum kum, kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta lima orang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri.

Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.

Selepas Majlis Perkahwinan

Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.


:: Artikel diambil dari laman web Warisan Budaya Malaysia ::

[ PERKAHWINAN MENGIKUT ADAT CINA ]

Pengenalan

Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

Merisik

Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

Meminang

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.


Bertunang


Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.


Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.


Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.

Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing.

Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.

:: Artikel diambil dari laman web Warisan Budaya Malaysia ::


Perkahwinan Mengikut Adat Melayu

Pengenalan
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting.


Merisik
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.

Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.


Cincin belah rotan
Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

Meminang
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

Bertunang
Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkahbendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.

Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincinpertunangan atau cincintanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.


Akad Nikah
Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan bajumelayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan.

Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya.
Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak "..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.

Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkanairsembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

Adat Berinai
Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.
Berinai curi >> Diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja.

Berinai kecil >> Diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Berinai besar >>Diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

Majlis Perkahwinan

Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.

Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.

Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembahpengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebuspintu atau tebuspelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bungatelur pada hari tersebut.

Seterusnya, majlismakan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.

:: Artikel diambil dari laman web Warisan Budaya Malaysia ::

PERKAHWINAN-1 MALAYSIA

Salam Perkenalan

Perkahwinan-1Malaysia adalah satu blog yang mengandungi informasi serta topik - topik mengenai perkahwinan. Ia bersesuaian dengan konsep satu Malaysia yang menekankan perpaduan kaum di dalam masyarakatnya. Oleh itu, Perkahwinan-1Malaysia merangkumi semua topik berkenaan perkahwinan mengikut kaum peribumi di Malaysia iaitu Melayu, India dan Cina sama ada mengenai adat perkahwinan, panduan dan tips merancang perbelanjaan perkahwinan, senarai semak sebelum dan selepas majlis dan sebagainya. Adat Perkahwinan kaum-kaum etnik di Sabah dan Sarawak juga tidak dilupakan. Diharap segala informasi yang ada di laman blog ini dapat membantu anda dalam merancang perkahwinan agar hari bersejarah anda penuh bermakna..